Lori yang dirampas MAQIS di KSAB selepas digunakan untuk menyeludup keluar ikan bawal ke Singapura. FOTO Ihsan MAQIS
Lori yang dirampas MAQIS di KSAB selepas digunakan untuk menyeludup keluar ikan bawal ke Singapura. FOTO Ihsan MAQIS
Rosyahaida Abdullah


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya mematahkan cubaan sebuah lori membawa keluar 2,940 kilogram ikan bawal putih dan hitam sejuk beku bernilai RM106,427.80 di laluan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru, Johor, kelmarin.

Pengarah MAQIS Johor Nur Afifah A Rahman berkata, pemeriksaan awal mendapati pemandu lori terbabit membawa muatan itu tanpa permit eksport ke Singapura.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita mendapati lori itu membawa 127 kotak ikan bawal hitam dan 167 kotak lagi muatan bawal putih.

“Setiap kotak seberat 10 kilogram dan jumlah keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM106,427.80,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua barang dagangan itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Nur Afifah berkata, penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di semua pintu keluar dan masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

“Buat masa ini, sekatan sementara terhadap pengeksportan ikan bawal hitam dan putih sedang dilaksanakan.

“Namun, pengecualian sekatan diberikan bagi spesis ikan bawal emas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 10:52 AM