GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Cubaan sindiket penyeludupan menyembunyikan 320,000 batang rokok tidak bercukai bernilai RM70,000 di bawah timbunan ikan tilapia hitam dan belanak untuk dihantar ke negara jiran digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, taktik berkenaan terbongkar selepas pemeriksaan ke atas sebuah lori di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, dekat sini, 5 Jun lalu.

Beliau berkata, ketika melakukan pemeriksaan rutin, pegawai penguasa Maqis menahan dan memeriksa sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di laluan lori eksport pada 6 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menemui sebanyak 1,600 kotak rokok di dalam 20 tong ikan.

"Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan 40 bungkusan kotak rokok di tong muatan ikan belanak dan tilapia hitam bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Sindiket berkenaan mengulangi modus operandi sama seperti kes yang digagalkan Maqis pada 3 Mei lalu membabitkan rampasan sebanyak 257,400 batang rokok," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hizzuan berkata, mereka menyalahgunakan kebenaran mengeksport ikan untuk menyeludup rokok ke negara jiran.

Katanya, kesemua barang dagangan ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut.

"Maqis dan JKDM akan terus bekerjasama dan sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan dan memperkasa undang-undang di semua pintu masuk negara.

"Ia bagi memastikan aktiviti import dan eksport sentiasa dalam kawalan serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:26 PM