LORI yang digunakan untuk membawa ikan lolong. FOTO Ihsan MAQIS
LORI yang digunakan untuk membawa ikan lolong. FOTO Ihsan MAQIS
Nurul Amanina Suhaini


CUBAAN membawa keluar ikan lolong sejuk beku tanpa permit eksport di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dekat sini semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, dalam kejadian 11 pagi itu, seorang lelaki membuat cubaan menyeludup ikan itu di laluan lori eksport ke Singapura.

Menurutnya, muatan dengan nilai anggaran RM5,400 itu juga dirampas.

“Maqis membuat pemeriksaan terhadap sebuah lori yang membawa produk sejuk beku bernombor pendaftaran Malaysia yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 50 kotak berisi muatan ikan lolong sejuk beku seberat 10 kilogram (kg) bagi setiap satu kotak dengan berat keseluruhan sebanyak 500,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nur Afifah berkata semua ikan sejuk beku itu dirampas dan tindakan lanjut akan dikenakan terhadap pemilik dagangan kerana tidak mempunyai permit eksport yang sah.

“Perbuatan mengeksport ikan sejuk beku tanpa permit eksport yang sah dari Maqis menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (3), akta sama.

“Jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambah beliau lagi, Maqis akan sentiasa memantau sebarang kemasukan dan keluaran yang membabitkan keluaran pertanian supaya ianya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2020 @ 10:29 AM