Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket pengedaran syabu dianggarkan bernilai RM671,096.40 dalam dua serbuan berasingan di Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah dan Gelugor, di sini, Ahad lalu.

Serbuan dijalankan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu, turut menahan dua warga asing disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, serbuan pertama terhadap sebuah rumah teres di Bukit Tengah pada jam 10 malam itu menahan lelaki berusia 56 tahun.

Katanya, turut ditemui ketika pemeriksaan ialah 18.58 kilogram (kg) syabu, 12 gram pil erimin 5, 50 butir peluru, 56 liter cecair kimia serta peralatan memproses dan penimbang.

"Suspek didapati tinggal di negara ini sejak 2012 dan mempunyai pasport tamat tempoh pada 2017 manakala ujian saringan air kencing didapati positif Meth.

"Sementara dalam serbuan kedua pada jam 10.50 malam hari yang sama, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun di sebuah kondominium di Gelugor di sini bersama 45.4 gram dadah jenis syabu.

"Suspek wanita itu mempunyai pasport sah sehingga Ogos 2028 dan pas lawatan sah sehingga November 2021 manakala ujian saringan air kencing didapati negatif," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Fisol berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menyewa rumah masing-masing sejak dua tahun lalu bagi dijadikan tempat menyimpan dadah.

Katanya, sindiket berkenaan terbabit dalam pengedaran dadah syabu sejak Ogos tahun lalu yang dilakukan menerusi laluan darat dan laut.

"Sindiket itu juga mendapat bekalan dadah dari kawasan Lembah Klang dan mengedarkannya di sekitar Pulau Pinang dan negara jiran.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengesan baki ahli yang terbabit dan harta daripada kegiatan pengedaran dadah sindiket itu," katanya lagi.

Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod dadah atau jenayah lampau dan direman hingga 15 Ogos bagi membantu siasatan.

Keseluruhan nilai rampasan dadah serta sitaan termasuk wang dan jam tangan membabitkan nilai RM719, 826.40.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2) ADB 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(3) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Susulan penahanan dua suspek, polis juga berjaya menahan 10 lagi individu yang terdiri daripada tujuh lelaki dan perempuan berusia antara 27 hingga 65 tahun.

Kata Fisol, seramai tujuh daripadanya adalah terdiri daripada ahli sindiket dan seorang ketua manakala dua lagi adalah pembekal dari Lembah Klang.

"Mereka sudah ditahan bagi siasatan kes pengedaran di Ampang, Selangor," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 3:24 PM
Antara rampasan 18.58 kilogram dadah syabu, pil erimin 5, 50 buti peluru jenis A USA 9 MM Luger, 56 liter cecair kimia bernilai RM671,096.40 dan sitaan harta termasuk wang tunai, seutas jam tangan Rolex dan barang kemas bernilai RM48,730 pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO MIKAIL ONG
Antara rampasan 18.58 kilogram dadah syabu, pil erimin 5, 50 buti peluru jenis A USA 9 MM Luger, 56 liter cecair kimia bernilai RM671,096.40 dan sitaan harta termasuk wang tunai, seutas jam tangan Rolex dan barang kemas bernilai RM48,730 pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO MIKAIL ONG