GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Recqueal Raimi


ENAM individu termasuk dua pengedar dadah ditahan dalam serbuan menerusi Ops Sarang di dua kampung di Kota Belud, semalam.

Dalam operasi bermula 3 sehingga 6 petang yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 56.9 gram.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Mohd Zaidi Abdullah berkata, serbuan dilakukan di dua kawasan iaitu di Kampung Kesapang dan Kampung Rampayan Laut.

“Hasilnya, dua lelaki dipercayai pengedar dadah yang sedang menunggu pelanggan masing-masing di lokasi berlainan berjaya ditahan biarpun mereka cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek pertama memiliki 12 paket syabu manakala pemeriksaan pada beg sandang suspek kedua pula menemui satu paket dadah jenis sama,” katanya.

Menurutnya, syabu yang dirampas dianggarkan bernilai RM8,535 mengikut harga pasaran dan ia adalah rampasan dadah terbesar di daerah berkenaan pada tahun ini.

"Dalam dua serbuan itu, polis turut menahan empat lagi lelaki tempatan disyaki penagih. Semua individu berusia 31 hingga 40 tahun itu disiasat mengikut kesalahan masing-masing antaranya Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(A) akta yang sama," katanya.

Mohd Zaidi berkata, usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah itu akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Bagi mempertingkat lagi usaha ini, katanya, kerjasama daripada orang awam diperlukan terutamanya dalam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan dadah atau jenayah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 January 2020 @ 5:10 PM