Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin (tengah), menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas pada Rabu lalu. FOTO  Abdul Rahemang Taiming.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin (tengah), menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas pada Rabu lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Penganggur disyaki ahli sindiket pengedaran dadah ditahan dan tujuh kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM258,948 dirampas, dalam dua serbuan pada 25 Mei lalu.

Suspek warga tempatan berusia 20 tahun itu ditahan di sebuah premis di Jalan Stephen Tan, dekat sini, pada 2.10 petang, bersama dua bungkusan plastik teh cina 'Guanyinwang' yang disembunyikan dalam peti alat pembesar suara.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bungkusan terbabit mengandungi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

"Susulan tangkapan dan hasil soal siasat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) kemudiannya menyerbu rumah sewa suspek di Batu 3 Jalan Apas, jam 3.40 petang hari sama.

"Dalam serbuan itu, polis merampas lima lagi bungkusan teh cina yang sama juga mengandungi dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, dadah itu dipercayai dibawa masuk ke Sabah melalui perkhidmatan kurier untuk pasaran tempatan.

Mengulas lanjut Jasmin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti sumber dadah diperoleh.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan suspek adalah ahli sindiket yang mempunyai rantaian pengedaran dadah yang bergiat aktif di daerah ini.

Katanya, suspek juga memiliki dua rekod jenayah lampau, bagaimanapun ujian saringan air kencing didapati negatif.

"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 26 Mei sehingga esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 12:56 PM