GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tiga lelaki membabitkan konstabel polis dan anggota berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2,000 pada Jun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohamad Taufik Abdul Aziz, 31, Mohamad Fazli Nordin, 28, dan Shahrul Norhan Sirhan, 26 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat bersama secara rasuah memperoleh suapan bernilai RM2,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan iaitu menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30, di sini, pada 25 Jun lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Ketiga-tiga tertuduh juga didakwa dengan satu pertuduhan pilihan iaitu sebagai penjawat awam menerima untuk diri mereka dengan niat iaitu wang RM2,000 dengan tiada balasan daripada lelaki yang sama supaya tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan iaitu menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang PKP.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam Tham Weng Kin, Faizah KZaberi serta Azi Azlin kemudian memohon mahkamah untuk mengurangkan jaminan kepada RM3,000 mengikut lingkungan gaji tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 13 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 1:11 PM