Pegawai SPRM mengiringi Afifah ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dituduh atas kesalahan meminta suapan bernilai RM2,000 daripada seorang lelaki berkaitan kes akta racun pada 15 Disember 2015 lalu. FOTO Amran Hamid
Pegawai SPRM mengiringi Afifah ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dituduh atas kesalahan meminta suapan bernilai RM2,000 daripada seorang lelaki berkaitan kes akta racun pada 15 Disember 2015 lalu. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi


SEORANG anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki, dua tahun lalu.

Tertuduh, Sarjan Afifah Zainal Abidin, 28, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Bahagian Siasatan Jabatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar membuat pengakuan itu dan minta dibicara sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amernudin Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM2,000 melalui panggilan telefon daripada Ahmad Termizi Mohd Izham yang ketika itu berada dalam Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daerah Kota Setar pada 11.40 pagi, 13 Disember 2015.

Pertuduhan kedua pula, Afifah didakwa menerima wang suapan berjumlah RM2,000 daripada Ahmad Termizi di Restoran Zeefee, Jalan Pegawai, Alor Setar pada 12.10 tengah hari, 15 Disember 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebagai dorongan bagi menangguhkan proses pertuduhan Ahmad Termizi di mahkamah berhubung kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Negeri, A Hafiizh Abu Bakar yang meminta wang jaminan dikenakan sebanyak RM10,000 sementara tertuduh diwakili peguam bela, Ruzanna Abdul Halim.

Ruzanna memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana tertuduh perlu menanggung ibunya yang sudah uzur serta adik yang masih bersekolah.

"Wang jaminan ini hanyalah supaya tertuduh hadir ke mahkamah dan dia berjanji akan hadir pada tarikh sebutan nanti," katanya.

Amernudin kemudian menetapkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula pada 13 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 1:17 PM