Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini di atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan bagi melepaskan seorang lelaki yang memiliki air ketum, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Azahari Affendi Basri, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu sebagai Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh RM2,000 daripada Jabir Mohamad sebagai dorongan untuk melakukan satu perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipal iaitu bagi mengurangkan pertuduhan terhadap lelaki itu atas kesalahan memiliki air ketum.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh suapan RM2,000 sebagai dorongan untuk melepaskan kereta Proton Wira yang disita sebagai barang kes pemilikan air ketum daripada lelaki yang sama.

Dua pertuduhan itu dilakukan di IPD Jeli pada jam 2 petang, 15 Mei 2018.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM4,000 sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubungan hal ehwal prinsipal daripada lelaki yang sama atas kesalahan memiliki air ketum dan melepaskan Proton Wira yang disita, jam 4 petang, 16 Mei 2018.

Bagi tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Hazikah Tuan Yacob dan Nor Hamizah Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Asmadi Abu Bakar.

Terdahulu, Tengku Nurul Hazikah dalam pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tidak mengganggu saksi serta melapor diri di SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, Asmadi memohon supaya anak guamnya diberi jaminan RM7,000 kerana lelaki itu sudah berkahwin dan kini bertugas di Pulau Pinang.

"Beliau juga menanggung ibu dan ayah yang sudah uzur dan ini adalah kes pertamanya," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 2:41 PM