Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Rakyat Malaysia dijangka berpeluang mengerjakan ibadah umrah pada tahun ini sekiranya kes jangkitan Covid-19 di dalam negara menurun dan mencapai sasaran 80 peratus penduduk mendapat vaksinasi Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia juga bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SOP yang ditetapkan negara berkenaan.

Beliau berkata, perbincangan sudah dilakukan dengan Duta Arab Saudi semalam berkenaan isu berkenaan dan pihaknya sedang mendapatkan kepastian dari semasa ke semasa.

"Apabila keadaan memungkinkan (untuk ke sana), kita akan membina SOP dahulu, kita melihat kepada dua situasi iaitu satu di dalam negara dan satu lagi negara yang ingin dikunjungi iaitu Arab Saudi, jadi SOP yang kita bina itu adalah peraturan yang terkait dengan negara kita dan juga negara mereka.

"Setakat ini, kita harap isu berkaitan dengan penyebaran pandemik Covid-19 dapat diredakan dengan sebaik mungkin dan vaksinasi dapat diperbanyakkan.

"Jadi, kalau hal ini dapat diselesaikan, insya-Allah saya yakin dalam satu atau dua bulan lagi (boleh ke sana), namun ia bergantung kepada keadaan Covid-19 yang kita hadapi selain kebenaran daripada negara sana," katanya ketika menyampaikan sumbangan di Maahad Darul Quran Rusila di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Arab Saudi membuka kembali pintunya untuk pelancong dari 49 negara sejak 1 Ogos lalu dengan mempermudahkan prosedur mendapatkan visa masuk bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara terbabit.

Dr Zulkifli (tiga dari kanan) bergambar semasa mengadakan lawatan di Maahad Darul Quran, Rusila. FOTO GHAZALI KORI
Dr Zulkifli (tiga dari kanan) bergambar semasa mengadakan lawatan di Maahad Darul Quran, Rusila. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 3:52 PM