Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Pasukan khas ditubuhkan bagi meneliti dan menangani pengebumian jenazah pesakit Covid-19 khususnya di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, langkah itu sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan peningkatan kes kematian akibat virus berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya juga mengatur beberapa langkah bagi mengatasi permasalahan berkenaan termasuk mempercepatkan pengurusan jenazah.

"Kalau boleh mahu (selesaikan pengebumian) kurang daripada 24 jam tetapi apa yang saya lihat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini, pengurusan jenazah ini ambil masa antara lima atau enam jam.

"Jadi, saya mohon kalau boleh (tempoh pengurusan) diselesaikan antara tiga hingga empat jam kecuali apabila waris tidak mahu tanam di situ dan seumpamanya.

"Selain itu, kita juga bersiap sedia dengan beberapa tanah perkuburan sebagai alternatif antaranya di Bukit Jalil dan beberapa tempat yang lain," katanya ketika menyampaikan sumbangan di Maahad Darul Quran Rusila di sini hari ini.

Sebelum ini,Zulkifli berkata, keperluan untuk membuka tanah perkuburan Islam yang dikhususkan bagi pengebumian jenazah pesakit Covid-19 akan diteliti.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti terlebih dulu bagi mendapatkan pandangan serta saranan berkenaan keperluan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semasa sidang media selepas mengadakan lawatan di Maahad Darul Quran, Rusila. FOTO GHAZALI KORI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semasa sidang media selepas mengadakan lawatan di Maahad Darul Quran, Rusila. FOTO GHAZALI KORI


  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 4:25 PM