Ruwaida Md Zain


KLANG: Malaysia sudah menghantar surat permohonan kepada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan tiga individu dari negara ini menunaikan ibadah haji dalam suasana pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, tiga individu terbabit adalah kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang berada di sana.

"Apa yang diberitakan mengenai 1,000 orang itu keseluruhan penduduk dunia, warganegara dunia yang berada di Arab Saudi.

"Kita sendiri sudah menghantar satu surat untuk memohon tiga orang wakil daripada Tabung Haji yang berada di sana (Jeddah, Arab Saudi) untuk membuat laporan, menunaikan haji di samping membuat sedikit 'homework' bagaimana pelaksanaan ketika Covid-19 ini.

"Sebagaimana kita faham, Arab Saudi dengan kebijaksanaan pemerintah mereka, situasi Covid-19 yang begitu tinggi meyebabkan mereka mengehadkan dengan secukup-cukupnya, tetapi untuk mentakzim atau menegakkan syiar agama Allah iaitu haji tetap diadakan, tapi dalam prosedur operasi standard (SOP) yang benar-benar ketat pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Yadim Peduli: Is'ad Al–Usrah & Sumbangan Keluarga Asnaf' di Jalan Kapar, di sini, hari ini.

DR ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (tiga dari kiri) diiringi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nasruddin Hassan (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Rosmah Osman (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran YADIM Peduli: Is'Ad Al-Usrah dan Sumbangan Keluarga Asnaf di Lorong Haji Amin, Kapar. FOTO FAIZ ANUAR
DR ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (tiga dari kiri) diiringi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nasruddin Hassan (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Rosmah Osman (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran YADIM Peduli: Is'Ad Al-Usrah dan Sumbangan Keluarga Asnaf di Lorong Haji Amin, Kapar. FOTO FAIZ ANUAR

Zulkifli berkata, laporan berkaitan pelaksanaan haji akan diberitahu kelak sebaik menerima maklum balas daripada kakitangan TH di sana.

"Kalau tiada aral, kalau dapat respon cepat, kita akan beritahu," katanya.

Difahamkan, surat permohonan terbabit sudah dihantar minggu lalu kepada Kerajaan Arab Saudi.

Akhbar semalam, melaporkan Kerajaan Arab Saudi mengehadkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang saja bermula 29 Julai ini, dengan melaksanakan SOP ketat bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Pihak berkuasa negara itu mengumumkan ibadah haji yang sebelum ini biasanya dihadiri lebih 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia, dilaksanakan dalam suasana protokol kebersihan yang ketat dengan akses terhad kepada jemaah haji di bawah 65 tahun dan tanpa penyakit kronik.

Terdahulu, beliau menyantuni keluarga asnaf yang menerima bantuan baikpulih rumah yang rosak serta bantuan perabot bernilai RM10,000 sumbangan Yadim.

"Kita cuba sedaya upaya membantu keluarga asnaf yang memerlukan bantuan dan akan mengerahkan agensi di bawah kementerian untuk melaksanakan program seumpama ini yang dilihat mampu meningkatkan taraf hidup golongan asnaf," katanya yang turut memberi sumbangan peribadi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 8:11 PM