Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Keputusan sama ada Malaysia akan menghantar jemaah haji pada tahun ini bergantung kepada kelulusan kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan itu bukan sahaja membabitkan Malaysia, tetapi umat Islam di seluruh dunia.

"Kita sedang berunding dan menantikan keputusan daripada pihak Arab Saudi, mereka kini perlu memikirkan masalah Covid-19 dan kebarangkalian yang tinggi mengenai vaksin.

"Kalau dilihat, kenyataan mengenai perkara itu sudah ada tetapi sebagai sebuah kerajaan kita mahu terima satu keputusan rasmi sekiranya ada syarat untuk kita patuhi.

"(Untuk mematuhi syarat diberikan) bagi pihak kita, kita tidak ada masalah. Kita akan bincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) jika ada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Kit Ramah dan Penyampaian Kerusi Roda kepada pesakit hospital di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, isu penghantaran jemaah haji itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet untuk dibincangkan dan melihat kepada situasi semasa Covid-19 sama ada ia akan reda atau melandai.

Ketika ditanya mengenai sama ada jemaah haji akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin, Zulkifli berkata, perkara itu terlalu awal untuk dinyatakan.

"Kita perlu bincang satu persatu, untuk saya berikan jawapan adalah terlalu awal. Kita sedang berbincang dan sedang menantikan keputusan dari Arab Saudi," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Arab Saudi mewajibkan bakal jemaah haji pada tahun ini perlu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatannya, Dr Tawfiq al-Rabiah dilaporkan berkata, vaksin Covid-19 adalah wajib dan ia sebahagian daripada syarat utama untuk semua jemaah haji yang akan menunaikan ibadah itu Julai nanti.

ZULKIFLI (dua kanan) menyerahkan Kit Ramah dan Kerusi Roda kepada Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, Dr. Muhd Siv Kamaruddin Alias (tiga kiri). FOTO Luqman Hakim Zubir.
ZULKIFLI (dua kanan) menyerahkan Kit Ramah dan Kerusi Roda kepada Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, Dr. Muhd Siv Kamaruddin Alias (tiga kiri). FOTO Luqman Hakim Zubir.

Bagaimanapun, Rabiah tidak mengesahkan sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan haji, namun berkata suntikan vaksin adalah syarat utama.

Pada tahun lalu, kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji kepada seramai 1,000 orang bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 1:59 PM