BANGUNAN Parlimen . FOTO BERNAMA
BANGUNAN Parlimen . FOTO BERNAMA
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Keputusan untuk menangguhkan Mesyuarat Khas Parlimen perlu mengambil kira pandangan daripada aspek sains dan kesihatan awam tanpa pengaruh politik.

Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) dalam kenyataan berkata, demokrasi berparlimen yang berfungsi diperlukan dan dianggap sebagai 'perkhidmatan penting' bagi membolehkan penelitian awam, penggubalan undang-undang dan perbahasan mengenai cara memerangi pandemik itu dapat dilakukan.

"Sains dan kesihatan awam mestilah terhindar daripada sebarang unsur politik untuk memelihara kepercayaan dan keyakinan rakyat.

"Keyakinan itu dapat dipertingkatkan apabila keputusan dibuat secara konsisten. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pemimpinnya dan semua profesional kesihatan perlu bebas daripada pengaruh politik kepartian," katanya.

Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi notis kepada Ahli Parlimen, memaklumkan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok, ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditetapkan kelak.

Berdasarkan notis itu, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dimaklumkan oleh Perdana Menteri berhubung penangguhan persidangan berkenaan selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 7:17 PM