GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Mesyuarat Khas Dewan Negara yang sepatutnya berlangsung 3 Ogos hingga 5 Ogos ini ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditetapkan kelak susulan penilaian risiko yang dijalankan Kementeri Kesihatan Malaysia (KKM).

Notis penangguhan itu dikeluarkan Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah kepada Ahli Dewan Negara bertarikh hari ini.

"Adalah dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Negara menerima makluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai 2021 yang memutuskan supaya persidangan mesyuarat khas bagi Dewan Negara ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

"Pemakluman yang dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 10(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara," katanya menerusi surat yang diedarkan kepada Ahli Dewan Negara, hari ini.

Penangguhan ini dibuat selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) serta penilaian risiko semasa yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Ia susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19 yang mana KKM berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19," menurut notis terbabit.

Semalam, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi notis kepada Ahli Parlimen, memaklumkan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat esok, ditangguhkan ke suatu tarikh ditetapkan kelak.

Berdasarkan notis itu, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dimaklumkan oleh Perdana Menteri berhubung penangguhan persidangan berkenaan selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 3:40 PM