Dewan Rakyat, gambar fail. FOTO Bernama
Dewan Rakyat, gambar fail. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya bersambung pada Isnin 2 Ogos ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Perkara terkandung dalam surat bertarikh hari ini dari Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat Parlimen Malaysia yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Mengikut kandungan surat itu, pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Penangguhan ini adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang sudah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19.

"KKM berpendapat bahawa Parlimen Malaysia adalah lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

"Oleh itu, saya diarahkan oleh Yang Berhormat Datuk Mohd Rashid Hasnon (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat) untuk mengemukakan pemberitahu ini kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa Dewan Rakyat tidak bersidang pada Isnin, 2 Ogos 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 6:08 PM