FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Seorang bayi lelaki dipercayai baharu lahir ditemukan dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Lahat Lahat, Jalan Tanjung Kapor, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkenaan penemuan bayi itu pada 11.30 pagi.

Menurutnya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Semporna bergegas ke lokasi kejadian.

"Bayi cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemukan dalam keadaan berbalut dengan tuala di celah pelepah sawit.

"Siasatan awal polis, kita percaya bayi seberat 2.85 kilogram itu baru dilahirkan kurang 24 jam sebelum ditemukan seorang lelaki yang juga penduduk kampung di situ yang kemudiannya menghubungi polis," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, tiada sebarang dokumen ditemukan bersama bayi berkenaan dan dia dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan.

"Bayi itu dalam keadaan sihat kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak untuk pemantauan rapi dan akan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 9:15 PM