Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Mayat lelaki ditemukan dalam kawasan belukar di belakang sebuah kuil di Jalan Lahat, Simpang Pulai di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam jam kira-kira 12.15 tengah hari memaklumkan penemuan mayat lelaki berusia 40-an sebelum anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dikerahkan ke lokasi.

"Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) turut tiba di lokasi bagi menjalankan siasatan awal.

"Hasil siasatan tempat kejadian oleh pegawai penyiasat dan forensik mendapati tiada unsur jenayah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yahaya berkata, itu kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut.

Seorang lelaki ditemukan maut di kawasan belukar di belakang sebuah kuil di Jalan Lahat, Simpang Pulai. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Seorang lelaki ditemukan maut di kawasan belukar di belakang sebuah kuil di Jalan Lahat, Simpang Pulai. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 8:20 PM