DATUK Seri Amirudin Shari (tengah) mengadakan lawatan ke Hospital Serdang hari ini. FOTO Samadi Ahmad
DATUK Seri Amirudin Shari (tengah) mengadakan lawatan ke Hospital Serdang hari ini. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Serdang: Kerajaan negeri Selangor mencadangkan Tanah Perkuburan Islam Cyberjaya 10 di Sepang dijadikan lokasi Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat bagi mengurangkan masa pengurusan selain mengelak kesesakan di Jabatan Forensik di beberapa hospital di negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, berkata penambahan itu menjadikan kini tiga tapak perkuburan Islam digunakan termasuk Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam danTanah Perkuburan Islam Selat Klang, Klang bagi menampung pertambahan jenazah ketika ini.

Menurut beliau, Tanah Perkuburan Islam Cyberjaya 10 membabitkan urusan jenazah pesakit Covid-19 beragama Islam di tiga hospital di Sepang iaitu Hospital Serdang, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Kajang.

Katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) selepas Aidiladha ini.

"Perkara ini juga akan dibentangkan dalam satu mesyuarat bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin pada petang ini bagi menyelaras inisiatif yang akan diadakan ini," katanya ketika mengadakan lawatan ke Hospital Serdang, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha'ariNgadiman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil Adhif Syan Abdullah, Yang di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Datuk Abd Hamid Hussain dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang Mohamad Zain A Hamid.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan, Amiruddin mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat iaitu di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Klang bagi mengelak kesesakan jenazah di Selangor.

Inisiatif berkenaan membabitkan urusan jenazah dan mayat Covid-19 di tiga hospital sama ada muslim dan bukan Islam khususnya di Hospital Shah Alam (HSAS), Hospital Sungai Buloh (HSB) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Buat masa ini hanya satu unit krematorium sahaja boleh digunakan bagi mayat bukan Islam manakala dua unit lagi dibaik pulih kerajaan negeri Selangor bagi mempermudah urusan serta menyasar urusan pengebumian jenazah dilakukan tiga kali sehari.

Aminuddin berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan Hospital Serdang bagi menyelaras inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat di daerah itu.

Menurutnya, pada masa ini, kadar kematian di Hospital Serdang masih terkawal, antara 20 hingga 90 mayat sehari dan tidak berlaku kesesakan di bilik mayat seperti di hospital lain.

"Saya juga mengarahkan MPSepang menggunakan aset kenderaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu waris membawa jenazah di hospital ke tanah perkuburan.

"Selepas diselaraskan dengan pihak berkenaan, inisiatif ini akan dijalankan dalam masa terdekat supaya kita boleh mempercepat urusan dan mengurangkan bilangan jenazah di bilik mayat hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 5:13 PM