Tapak perkuburan Johan Setia.
Tapak perkuburan Johan Setia.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Selat Klang dipindahkan ke Tapak Perkuburan Johan Setia, Klang berikutan tanah kubur itu hampir penuh.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tanah itu perlu dikhususkan untuk kematian jenazah biasa ahli kariah.

Menurutnya, Tanah Perkuburan Selat Klang mempunyai keluasan 28 ekar bagaimanapun tapak yang sudah siap diratakan dan ditambak oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi tujuan pengebumian jenazah biasa dan jenazah Covid-19 adalah seluas dua ekar.

"Memandangkan tanah berkenaan hampir penuh dan perlu dikhususkan untuk kematian jenazah biasa ahli kariah, maka pengebumian pesakit Covid-19 dipindahkan ke Tapak Perkuburan Johan Setia, Klang.

"Tanah Perkuburan Johan Setia mempunyai tapak seluas 10 ekar yang disediakan untuk menerima jenazah," katanya ketika menggulung pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) mengenai Pengurusan Jenazah Covid-19.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menambah keperluan tanah perkuburan di setiap daerah.

"Sehingga 23 Ogos lalu, terdapat 42 tanah perkuburan dikhususkan sebagai tanah perkuburan jenazah Covid-19.

"Tujuh tanah perkuburan seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan 36 tanah perkuburan kariah," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi memaklumkan, individu yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang mengenakan caj pengurusan jenazah Covid-19 di hospital seluruh Selangor digesa untuk berkongsi maklumat berkenaan dengan JAIS.

"Saya difahamkan bahawa kes ini berlaku sebelum 25 Ogos lalu, namun jika berlaku lagi, saya minta semua pihak salurkan maklumat kepada JAIS.

"Saya ambil serius mengenai hal ini kerana JAIS tidak mengenakan sebarang caj pengurusan jenazah di hospital," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 5:49 PM