KUZAINI. FOTO Ihsan MPSepang
KUZAINI. FOTO Ihsan MPSepang
Samadi Ahmad

Puchong: "Arwah suami (Kuzaini Hamidon, 47) sebelum ini pernah mencadangkan anak tunggal perempuan kami, Annur Syabirah, 12, menyambung pengajian di peringkat tinggi di Mesir," ujar Nor Azean Ahmad, 44.

Menurutnya, arwah suami berada dalam keadaan tidak sihat sejak Isnin lalu selepas pulang dari kerja.

"Malah dia sangat lemah dan muntah pagi semalam. Ketika itu saya sedang bersiap untuk ke tempat kerja namun membatalkan hasrat dan segera menghubungi ambulans.

"Suami kemudian dibawa ke Hospital Putrajaya pada 9.45 pagi sebelum meninggal dunia jam 2.45 pagi tadi," katanya.

Menurutnya, arwah suami yang juga Pengarah Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) antara individu yang banyak membantu menguruskan jenazah mangsa Covid-19.

Sementara itu anak saudara arwah, Ain Nur Syazwani Abd Latif, 26, memberitahu, arwah banyak membantu dari segi kewangan ketika dia masih belajar.

Menurutnya, bapa saudaranya dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas rebah di kediamannya di Puchong Perdana sebelum meninggal dunia pagi semalam.

Nur Syazwani berkata, arwah yang mesra dengan panggilan Pak Ngah adalah adik kepada ibunya yang amat ringan tangan dalam membantu ahli keluarga berhadapan kesukaran di kampung.

Katanya, ketika dia masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (Uiam), arwah sering membantu dari segi kewangan dan adik beradik lain yang sedang bersekolah.

Sementara itu, Yang Di Pertua MPSepang Datuk Abd Hamid Hussain berkata, arwah adalah seorang pegawai yang berdedikasi dan komited dengan kerjanya.

Menurutnya, sebelum ini arwah diberi tugas khas mengendalikan Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Baqi',Cyberjaya 10 membabitkan jenazah pesakit Covid-19 Hospital Kajang, Hospital Serdang dan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

"Sejak diberikan tugas khas ini arwah sempat mengendalikan 19 jenazah bermula Sabtu lalu. Pemergian Kuzaini kehilangan besar kepada MPSepang dan seluruh warga pihak berkuasa tempatan (PBT) ini," katanya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 9:42 PM