Norzamira Che Noh

Klang: Tiada lagi isu jenazah pesakit Covid-19 di Selangor lambat dikebumikan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, selepas beberapa inisiatif dilaksanakan jabatan itu, tiada lagi isu kelewatan pengurusan jenazah.

"Selepas mengesan masalah (pengurusan jenazah) berlaku di mana, kita sudah 'take over' termasuk menetapkan tanah perkuburan dan ia sudah selesai. Tiada lagi isu lambat dan semuanya berjalan lancar.

"JAIS hanya mengambil alih keseluruhan pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di Klang sahaja manakala di daerah lain pengurusan dilaksanakan seperti biasa dengan pemantauan dari JAIS," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Set Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Ar-Rahimiah dekat sini hari ini.

SAIPOLYAZAN (dua kanan) diiringi Shahzihan (dua kiri) dan Anhar (tiga kanan) pada Majlis Serahan Set PPE. FOTO Faiz Anuar
SAIPOLYAZAN (dua kanan) diiringi Shahzihan (dua kiri) dan Anhar (tiga kanan) pada Majlis Serahan Set PPE. FOTO Faiz Anuar

Turut hadir, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop.

Mohd Shahzihan berkata, pihaknya juga menggalakkan lebih ramai badan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam melancarkan lagi pengurusan jenazah di negeri ini bagaimanapun mereka perlu mengikut kod etika yang ditetapkan jabatan itu.

Katanya, ianya perlu dilakukan dengan adab dan cara yang betul.

SUASANA sekitar pengebumian jenazah positif Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
SUASANA sekitar pengebumian jenazah positif Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Sebelum ini, timbul beberapa isu kelewatan pengurusan jenazah sekaligus menyebabkan 'limpahan' jenazah di beberapa hospital terutamanya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Susulan itu, kerajaan negeri serta JAIS tampil dengan beberapa inisiatif bagi mempercepatkan pengurusan jenazah termasuk menjadikan tiga hospital iaitu HTAR, Hospital Shah Alam serta Hospital Sungai Buloh sebagai lokasi Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 4:11 PM