PERBEZAAN saiz antara lembu limosin seberat lebih satu tan yang akan dikorbankan pada Aidiladha dengan lembu kampung.FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
PERBEZAAN saiz antara lembu limosin seberat lebih satu tan yang akan dikorbankan pada Aidiladha dengan lembu kampung.FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Lembu baka limosin dianggarkan seberat lebih satu tan menjadi lembu korban paling besar dikorbankan di negeri ini.

Lembu berusia dua tahun enam bulan dipanggil Awang Merah itu berharga RM14,500 dan dibeli Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim untuk dikorban pada hari raya ketiga Aidiladha, Khamis ini.

Penternaknya, Muhammad Amri Azmi, 30, dari Kampung Merbau Patah, di sini, berkata, dia terkejut apabila diberitahu sendiri Ahmad Amzad berkaitan hasratnya untuk membeli lembu baka limousin itu.

"Saya terharu apabila Ahmad Amzad sendiri menyatakan hasratnya melalui WhatsApp untuk membeli Awang Merah dan saya bersetuju menjualnya.

"Lembu itu saya letak harga RM14,500 dan Ahmad Amzad langsung tidak meminta kurang dan terus menjelaskan bayaran harga lembu itu.

"Jika ikutkan lembu limosin itu masih muda, tetapi sudah cukup umur serta menepati syarat ibadah korban dan jika lembu itu terus dibela, saiznya akan bertambah besar," katanya ketika ditemui di kandang lembunya, di sini, hari ini.

Muhammad Amri berkata, dia menceburi bidang penternakan lembu itu sejak 2017 dan pertama kali menjual lembu pada harga tinggi seperti itu.

Menurutnya, dia memiliki 16 ekor lembu baka dan bercadang untuk menambah lagi jumlah ternakan pada masa akan datang.

"Awang Merah ialah lembu paling saya sayang dan ketiadaannya nanti akan dirasai kerana sudah menjadi rutin menguruskan lembu itu pada setiap hari.

"Jika ikutkan hati, memang berasa sayang untuk menjualnya. Tetapi memandangkan tujuan penjualan itu untuk ibadah korban, saya rela berkorban perasaan untuk berpisah dengan lembu itu," katanya.

Menurutnya, selain Awang Merah, dia turut menjual empat lembu kampung untuk dijadikan ternakan korban pada tahun ini dengan harga RM5,250 seekor.

Katanya, keuntungan jualan lembu itu boleh digunakan untuk menambah jumlah ternakan lembu baka dan menampung kos makanan lembu pada setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 1:32 PM