Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: "Bila sudah minat, duit bukan masalah dan tidak kisah jika orang menganggap kami gila kerana membeli lembu baka dengan harga puluhan ribu ringgit," kata Nor Faizi Mamat.

Faizi, 24, bersama dua abangnya, Mohd Nazri, 31, dan Afandi, 29, dari Kampung Bukit Parit di sini, menghabiskan lebih RM200,000 untuk membeli lembu baka pelbagai jenis termasuk Limosin, Charolais Blonde dan Belgium Blue sejak 2014.

Tiga beradik itu tular di media sosial selepas membeli seekor lembu betina baka Charolais Blonde bersama seekor anak berusia empat bulan di Kelantan dengan harga RM50,000 pada April lalu.

Menurutnya, dia bersama dua abangnya itu terbabit dalam bidang penternakan itu kerana minat.

"Kami bermula kerana minat dan hanya suka-suka sahaja tetapi tidak sangka apabila bidang penternakan itu memberi pulangan keuntungan yang lumayan.

"Pada mulanya hanya Mohd Nazri dan Afandi yang menjalankan bidang penternakan itu sebelum saya menyertai mereka kerana tiada pekerjaan.

"Kami sepakat mengumpul modal dan membeli beberapa ekor lembu baka yang terbaik sebelum membiaknya di tanah seluas 2.5 hektar peninggalan arwah bapa," katanya.

Menurutnya, dia bersama abangnya sudah menjual lebih 40 ekor lembu baka sejak 2016 sehingga sekarang.

"Lembu baka itu dijual mengikut jantina dan gred. Biasanya lembu betina jauh lebih mahal berbanding lembu jantan.

"Harga setiap lembu mengikut harga pasaran tetapi fleksibel bergantung kepada jenis baka iaitu RM15,000 ke atas.

"Paling mahal dan terbaru kami menjual lembu baka Charolais dengan harga RM35,000 seekor pada awal tahun lalu," katanya.

Menurutnya, dia tidak bimbang untuk membeli lembu pada harga mahal kerana permintaan terhadap ternakan itu sentiasa tinggi.

"Anak lembu betina berusia beberapa bulan sudah ditempah malah ada yang menawarkan harga sehingga RM25,000 seekor.

"Sebab itu kami tidak peduli apabila segelintir penduduk menyindir dan mentertawakan kami kerana membeli lembu dengan harga mahal kerana yakin dengan potensi bidang penternakan itu," katanya.

Mohd Nazri berkata, dia menguruskan semua lembu bakanya itu seawal 8 hingga 11 pagi dan 4.30 petang hingga 6.30 petang pada setiap hari.

"Kos makanan untuk semua lembu yang diternak ialah RM3,000 sebulan selain pemberian makanan alternatif lain seperti rumput napier.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membimbing dan membantunya dalam menjalankan kegiatan penternakan itu.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu antara yang banyak membantu mengembangkan kegiatan penternakan yang dijalankan termasuk pemberian sumbangan kandang lembu yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 3:06 PM
NOR Faizi Mamat,24, dan Mohd Nazri, 31, dari Kampung Bukit Parit bersama sebahagian 20 ekor lembu baka yang diternak. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
NOR Faizi Mamat,24, dan Mohd Nazri, 31, dari Kampung Bukit Parit bersama sebahagian 20 ekor lembu baka yang diternak. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli