GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Lelaki cedera selepas terjatuh di jalan raya akibat berpaut di pintu keretanya bagi menghalang kenderaan itu dilarikan penjenayah di Jalan Raja, di sini, Rabu lalu.

Mangsa yang berkerja sebagai tukang masak berusia 40 tahun berkenaan cedera ringan di kedua-dua kaki dan tangan serta muka.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4 petang.

Menurutnya, suspek melarikan kereta Toyota Altis milik mangsa ketika lelaki itu meninggalkan kenderaannya di tepi jalan tanpa mematikan enjin untuk ke seberang jalan bagi membeli makanan.

"Selesai membeli makanan mangsa kembali semula ke keretanya dan membuka pintu bahagian penumpang hadapan untuk meletakkan makanan berkenaan.

"Mangsa mendapati ada seorang lelaki tidak dikenalinya memakai topi dan pelitup muka duduk di tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, suspek terus memandu kereta berkenaan dan mangsa pula berpaut pada pintu kereta bagi menghalang suspek melarikan kenderaannya.

Beliau berkata, mangsa terjatuh dan cedera ringan di kedua-dua kaki dan tangan serta muka dan menerima rawatan di Hospital Anson Bay Teluk Intan.

"Lokasi kejadian adalah di tepi jalan raya utama dan kawasan dikelilingi bangunan kedai serta tiada kamera litar tertutup (CCTV).

"Kenderaan mangsa kemudiannya ditemui semula di tepi jalan di Jalan Sungai Tunku hasil maklumat orang ramai pada 7 malam, hari sama.

"Bagaimanapun, suspek sudah melarikan diri dan polis sedang giat mengesannya dan kes disiasat mengikut Sekyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 3:52 PM