Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


PENIAGA restoran terima 13 jahitan di kepala selepas ditetak dengan parang dalam kejadian samun di tepi Jalan AU 4/6 Taman Keramat, Kuala Lumpur, kelmarin.

Kejadian 5.15 pagi itu turut menyebabkan peniaga berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

Mangsa yang berusia 42 tahun itu dikatakan memandu pacuan empat roda jenis Ford Ranger keluar dari rumahnya di Taman Keramat untuk membuka premisnya di Medan Selera AU5.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, mangsa kemudiannya berhenti di tepi jalan kerana menunggu pekerjanya sebelum dia didatangi empat lelaki yang menaiki dua motosikal.

Menurutnya, suspek membuka pintu kenderaannya sebelum merampas beg silang yang mengandungi dokumen, telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM1,000 serta bertindak menetak mangsa di kepala.

“Sebaik suspek melarikan diri, mangsa dalam keadaan berlumuran darah kemudiannya memandu keretanya ke Balai Polis Taman Melawati bagi meminta bantuan.

“Anggota polis di balai itu segera menghubungi ambulans dan mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Noor Azmi berkata, pihaknya sudah membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dan suspek terbabit dianggarkan berusia lingkungan 20-an.

“Berdasarkan siasatan awal, senjata digunakan dalam kejadian itu adalah dua bilah parang dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 1:25 AM