Wang tunai berjumlah RM185,744 yang dilarikan suspek berjaya ditemui semula oleh anggota FRM Balai Polis Kota Kinabalu.
Wang tunai berjumlah RM185,744 yang dilarikan suspek berjaya ditemui semula oleh anggota FRM Balai Polis Kota Kinabalu.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tindakan pantas pasukan First Response Motorcycle (FRM) Balai Polis Kota Kinabalu, berjaya menahan seorang lelaki selepas memecah kereta dan melarikan wang tunai berjumlah RM230,744, pagi kelmarin.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, mangsa yang juga pemilik kereta Nissan Almera berusia 40 tahun dikatakan meletakkan keretanya di tempat letak kereta di hentian bas di Likas Square, di sini.

Difahamkan, ia bertujuan untuk mengambil wang hasil jualan perniagaan runcit keluarganya di dalam bangunan itu.

Kejadian hanya disedari mangsa ketika kembali ke keretanya apabila mendapati alat penggera kenderaannya berbunyi dan cermin dipecahkan.

Mangsa menyedari dua beg berisi wang tunai kutipan perniagaannya bernilai RM230,744 dicuri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian disedari orang awam yang mendakwa suspek dilihat memecahkan cermin bahagian pemandu sebelum mengambil dua beg dan terus melintas jalan.

Katanya, orang awam memaklumkan kejadian itu kepada anggota FRM yang sedang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.

"Orang awam menahan motosikal anggota FRM dan memaklumkan kejadian itu sebelum mengejar kereta suspek yang cuba melarikan diri.

"Anggota FRM memintas dan menahan kereta Proton Iswara dinaiki dua lelaki di tepi jalan di Jalan Teluk Likas, berhampiran sebuah sekolah.

"Anggota FRM terus menahan pemandu kereta, namun seorang lagi suspek yang duduk di bahagian penumpang hadapan sempat melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta dipandu suspek berjaya menemui wang tunai sebanyak RM185,744 manakala baki wang sebanyak RM45,000 dibawa lari seorang lagi suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan mendapati suspek yang ditahan berusia 56 tahun manakala suspek yang masih bebas dikenal pasti sebagai Fredius George berusia 33 tahun.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan siasatan masih diteruskan.

"Suspek terbabit sudah dikenal pasti dan maklumat disalurkan pada semua elemen yang bertugas di lapangan bagi mengesan suspek masih bebas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri yang jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali serta sebatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 9:19 PM