KETUA Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof (dua dari kiri) mengetuai Op Bantu IPD Sepang di Bandar Baru Salak Tinggi. FOTO Samadi Ahmad
KETUA Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof (dua dari kiri) mengetuai Op Bantu IPD Sepang di Bandar Baru Salak Tinggi. FOTO Samadi Ahmad

Kuala Lumpur: Langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan Op Bantu bagi menyalurkan bantuan kepada individu yang terputus bekalan makanan susulan penularan Covid-19 dalam negara satu lagi pendekatan proaktif membantu rakyat.

Ia juga menyokong pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan memperkasakan program Bantuan Bakul Makanan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membantu golongan terjejas.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, menerusi operasi itu, semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negara akan dijadikan sebagai pusat pengagihan bantuan bekalan makanan bagi mereka yang terkesan.

"Di lapangan, Op Bantu akan diketuai 157 Ketua Polis Daerah seluruh negara dan melibatkan Skuad Aman Wanita (Amanita) di bawah Polis Diraja Malaysia serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di peringkat daerah yang ditugaskan untuk menyampaikan bantuan segera.

"Anggota Rela di lapangan ditugaskan melakukan rondaan bagi mendapatkan maklumat dan bagi tujuan penyaluran bantuan kepada mana-mana individu yang memerlukan bantuan segera," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pelaksanaan Op Bantu adalah kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Pada hari pelancarannya pengagihan hampir 50,000 bakul makanan ke seluruh negara sudah dilakukan.

Beliau meminta individu terputus bekalan makanan supaya memaklumkan kepada IPD berdekatan dan bagi mereka yang tidak dapat hadir, boleh hubungi IPD melalui talian rasmi IPD atau talian WhatsApp khas Op Bantu yang akan dimaklumkan kemudian.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, inisiatif itu antara usaha mendekati mereka memerlukan bantuan semasa pandemik Covid-19 serta sebagai tindak balas proaktif kepada isu dan situasi dihadapi masyarakat.

"Sudah pasti program ini menepati konsep tiada siapa yang tertinggal," katanya.

Dalam kenyataannya, Rina berkata, kolaborasi strategik antara KPWKM dengan KDN diteruskan walaupun selepas pandemik Covid-19 bagi menyantuni masyarakat dan memastikan golongan memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.

"Sejajar dengan konsep whole of government, kerjasama antara KPWKM dan KDN melalui agensi di bawahnya dapat mewujudkan penglibatan komuniti bagi menangani gejala sosial, membantu rakyat dan membasmi jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 7:01 AM