DATUK Azman Ayob (kiri) mengiringi Datuk Yong Lei Choo (tengah) menyerahkan kotak makanan sumbangan KDN kepada wakil IPD Cheras, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Cheras, Deputi Superintendan Sidambaram Arunasalam. FOTO ihsan Polis
DATUK Azman Ayob (kiri) mengiringi Datuk Yong Lei Choo (tengah) menyerahkan kotak makanan sumbangan KDN kepada wakil IPD Cheras, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Cheras, Deputi Superintendan Sidambaram Arunasalam. FOTO ihsan Polis
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Simpati kepayahan dialami warga kota susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dizahirkan polis Kuala Lumpur melalui pemberian 120 bakul makanan kepada golongan amat memerlukan ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, polis Kuala Lumpur melancarkan Op Bantu dengan mengagihkan 60 bakul makanan kepada 60 keluarga warga kota termasuk Putrajaya yang terputus bekalan makanan dalam tempoh pandemik Covid-19 bermula semalam.

Menurutnya, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan RELA berjalan dengan jayanya.

"Bakul makanan ini sudah diagihkan terus oleh semua Ketua Polis Daerah Kontinjen Kuala Lumpur secara bersemuka yang turut disertai Skuad Aman Wanita (AMANITA).

"Maklumat bagi pengagihan bakul makanan ini diterima pihak Polis Kuala Lumpur melalui persatuan penduduk serta diselaraskan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pengagihan bakul makanan ini diberikan antaranya kepada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), golongan yang menerima bantuan daripada Baitulmal dan penduduk yang hilang punca pendapatan semasa tempoh pandemik ini, " katanya.

Menurutnya, antara kawasan penduduk yang diberikan bantuan adalah di Flat Sri Sarawak, Flat Danau Kota, Kampung Chubadak Tambahan, Pangsapuri Awam Sri Johor, Apartment Putra Ria dan Pangsapuri Putra Harmoni.

Beliau berkata, program ini juga akan disambung hari ini apabila sebanyak 60 bakul makanan lagi akan diagihkan kepada 60 keluarga seterusnya.

"Polis Kuala Lumpur sangat mengalu-alukan sekiranya ada pihak korporat atau NGO yang ingin membantu dengan memberikan bantuan kepada orang ramai yang sangat memerlukan pada masa ini.

"Orang ramai juga boleh terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah dan Balai Polis yang berhampiran untuk memohon bantuan sekiranya sangat memerlukan. Pelaksanaan Op Bantu ini mencerminkan keprihatinan jabatan dan agensi penguatkuasaan kerajaan dalam membantu golongan yang terkesan akibat penularan Covid-19 dalam negara. "Semoga dengan inisiatif program seperti ini diharapkan dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga yang terjejas semasa menghadapi tempoh yang sangat sukar ketika ini, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 11:08 AM