Anggota bomba membantu membawa gadis ke ambulans selepas berjaya menenangkannya di Kampung Jelatok, Bukit Merah di sini, tengah malam tadi. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba membantu membawa gadis ke ambulans selepas berjaya menenangkannya di Kampung Jelatok, Bukit Merah di sini, tengah malam tadi. Foto Ihsan JBPM
Syaherah Mustafa

Tanah Merah: Gadis diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas cuba mencederakan dirinya menggunakan senjata tajam dipercayai kerana tertekan sebaik diberitahu menghidap kanser payu dara di Kampung Jelatok, Bukit Merah di sini, tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah Mohd Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan telefon mengenainya pada 11.34 malam dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota bomba tiba di rumah mangsa pada 11.46 tengah malam dan mendapati terdapat seorang gadis berusia 19 tahun berkurung dalam bilik di sebuah rumah.

"Bagaimanapun, hasil pujukan daripada pihak bomba berjaya menenangkan mangsa yang kemudiannya menyerahkan pisau dipegangnya kepada anggota bertugas.

"Anggota terpaksa memecahkan pintu bilik yang berkunci sebelum mendapatkan mangsa yang kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataam media, hari ini.

Mohd Rafain berkata, mangsa turut dibawa ke Hospital Tanah Merah menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, pihaknya difahamkan gadis itu diberitahu oleh pihak hospital bahawa dia menghidap kanser payu dara ketika membuat pemeriksaan kesihatan pada pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 10:26 AM