ORANG ramai yang hadir bagi menerima suntikan vaksin di PPV Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Azhar Ramli.
ORANG ramai yang hadir bagi menerima suntikan vaksin di PPV Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Azhar Ramli.
Isma Ismail; Amir Abd Hamid dan Suraya

Kuala Lumpur: Penduduk di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang mempunyai temujanji suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan keluar untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya seorang sahaja dibenarkan keluar.

Namun, katanya, kelonggaran diberikan kepada individu yang uzur atau orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan peneman.

"Bagi individu yang tidak mempunyai kenderaan sendiri dan terpaksa menempah kenderaan e-hailing, kita benarkan kapasiti penumpang seramai tiga orang

"Ini adalah untuk individu warga emas atau OKU yang memerlukan peneman dan tiada kenderaan sendiri untuk ke tempat menerima vaksin.

"Ia bermaksud dua penumpang dan seorang pemandu e-hailing berkenaan," katanya dalam sidang media bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilaksanakan secara hibrid, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kelonggaran rentas negeri juga diberikan kepada individu yang mahu menghantar keluarga yang ada di kampung ke PPV.

Beliau berkata, individu berkenaan perlu membuat permohonan kepada pihak polis untuk melakukan rentas negeri dengan menunjukkan bukti berkaitan.

"Jika orang tua di kampung tiada kenderaan untuk ke pusat vaksin maka kelonggaran diberikan kepada anak atau warisnya melakukan rentas negeri bagi tujuan itu.

"Apa pun saya difahamkan setiap kawasan luar bandar mempunyai sukarelawan yang boleh membantu.

"Tetapi sekiranya tiada, kita benarkan waris atau anak mereka pulang ke kampung dengan membawa bukti surat atau MySejahtera dan sebagainya," katanya.

Berita berkaitan:

5 negeri beralih ke Fasa 2 PPN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 4:43 PM