Isma Ismail; Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Negeri yang sudah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh berpatah semula ke pelaksanaan Fasa 1 jika indikator nilai ambang kembali menurun.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, secara dasarnya nilai ambang bagi tiga indikator iaitu kes harian baharu, penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar vaksinasi perlu dipenuhi untuk peralihan fasa.

"Nilai ambang ketiga-tiga indikator (menentukan) sama ada kembali ke fasa sebelumnya atau bergerak ke fasa seterusnya jika dapat mencapai nilai ambang untuk tiga indikator itu," katanya dalam sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara hibrid, hari ini.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, jika nilai ambang di sesebuah negeri itu jatuh, contohnya kes harian meningkat, kerajaan akan membuat keputusan lain mengenainya selepas mengadakan perbincangan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Sidang Khas MKN.

"Kita akan membawa balik perbincangan ini ke MKN. Jawatankuasa Teknikal MKN dan selepas itu akan dibawa ke Sidang Khas MKN dan di sini kita akan membuat keputusan sebelum membuat pengumuman," katanya.

TENGKU Zafrul. FOTO Arkib NSTP
TENGKU Zafrul. FOTO Arkib NSTP

Lima negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang diumumkan beralih ke Fasa 2 berkuat kuasa Isnin ini.

Sementara itu, Ismail Sabri ketika ditanya berhubung kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa data daripada Op Patuh akan dikaji dan dibentangkan ke mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MKN beliau berkata, setakat ini perkara itu belum dibawa lagi ke mesyuarat itu.

"Insha Allah kalau sudah dibawa nanti kita akan bincangkan perkara ini. Tetapi yang pastinya saya lihat Task Force Operasi Pematuhan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) begitu aktif untuk membuat pemeriksaan dan serbuan.

"Ini dilakukan bagi mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP), setiap perintah dan larangan sama ada oleh premis perniagaan atau sektor perkilangan," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:00 PM