Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju membenarkan peralihan fasa bagi Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, Melaka dan Lembah Klang iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor beralih daripada Fasa 3 kepada Fasa 4.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, ia mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

Katanya, dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri terbabit, negara Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) www.mkn.gov.my," katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini turut memutuskan Operasi Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok, 16 Oktober 2021.

Selain itu kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Katanya, pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuatkuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021.

"Tempoh kuarantin tujuh hari di rumah (jika sesuai) atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap, tempoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada atau tidak lengkap vaksin.

"Pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Rapat juga berkuatkuasa pada Isnin, 18 Oktober 2021.

"Manakala tempoh kuarantin tujuh hari di rumah bagi mereka yang lengkap divaksin, tempoh kuarantin 10 hari di rumah bagi mereka yang tiada atau tidak lengkap divaksin," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat juga memutuskan pembukaan Perkhidmatan Pusat Siber dan Kafe Siber dipersetujui dengan penyelarasan kapasiti seperti berikut berkuatkuasa 17 Oktober 2021 iaitu 80 peratus kapasiti bagi Fasa 3 dan 100 peratus kapasiti bagi Fasa 4.

Menurutnya, SOP pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah yang dibentangkan di Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik bertarikh 27 September 2021 diwartakan selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan negara bermula 11 Oktober 2021.

Sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara. Kebenaran ini berkuatkuasa 18 Oktober 2021.

"Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE) dibenarkan di negeri- negeri PPN Fasa 3 secara bersemuka, membabitkan individu yang lengkap divaksin berkuatkuasa 18 Oktober 2021 dengan syarat-syarat seperti melaksanakan ujian saringan Covid-19 melalui kaedah saliva test atau RTK-Antigen, mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kapasiti 50 peratus mengikut ruang.

"Mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan atau itinery yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenalpasti iaitu pembesar negara, menteri, timbalan menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Parlimen dan Pegawai-pegawai Kerajaan.

"Pelaksanaan program rintis ini akan berkuatkuasa 18 Oktober 2021 dan akan diperluaskan kepada pengembara perniagaan dalam waktu terdekat," katanya.

Antara syarat-syarat yang dikenakan adalah mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama dokumen sokongan kepada Majlis Keselamatan Negara MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan kelulusan.

Selain itu, individu perlu menjalani ujian PCR 3 hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia, menjalani ujian PCR setibanya di mana-mana pintu masuk negara dan syarat-syarat ini terhad kepada pengembara yang tiba dari negara yang berisiko rendah sahaja.

Katanya, syarat itu juga terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 7:47 PM