Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Isma Ismail dan Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Empat negeri semakin hampir untuk mencapai nilai ambang peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Negeri terbabit adalah Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah apabila sudah mencapai indikator purata kes harian Covid-19 apabila mencatatkan di bawah 4,000 kes purata untuk tujuh hari serta hampir mencatatkan paras sederhana di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan juga ke arah mencapai kadar vaksinasi 10 peratus.

Ketika ini, Johor mencatatkan purata 320 kes Covid-19, Kedah (218), Pulau Pinang (165) dan Sabah (217).

Bagaimanapun, hanya Kedah yang sudah melepasi kadar vaksinasi 10 peratus penduduknya iaitu 12.1 peratus, manakala Johor mencatatkan 9.5 peratus, Pulau Pinang (9.8 peratus) dan Sabah (7.8 peratus).

Bagi penggunaan ICU pula, hanya Sabah sudah mencapai paras sederhana, manakala Johor, Kedah dan Pulau Pinang masih berada pada tahap terhad penggunaannya.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis beralih ke Fasa 2 PPN selepas mencapai nilai ambang yang ditetapkan.

Kelima-lima negeri berkenaan akan beralih ke Fasa 2 PPN berkuat kuasa 5 Julai ini.

PPN dibentangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu sebagai satu strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19, yang mana kerajaan merangka empat fasa berdasarkan pertimbangan sebaik mungkin termasuk mengambil kira ancaman virus yang masih menular dan bilangan kes aktif di hospital.

Berdasarkan sidang media Ismail dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini, pelaksanaan PPN berjaya mencatatkan penurunan ketara purata kes Covid-19 untuk tujuh hari berturut-turut.

Terengganu mencatatkan penurunan kes paling mendadak iaitu dengan 210 kes pada 1 Jun kepada 29 kes pada 1 Julai lalu turun sebanyak 86.1 peratus.

Ia diikuti Kelantan, apabila mencatatkan penurunan sebanyak 83 peratus selepas merekod 700 kes pada 1 Jun kepada 119 kes pada 1 Julai, Perlis turun 75 peratus dan Pulau Pinang (57.4 peratus).

Hanya Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang mencatatkan peningkatan bagi tempoh yang sama apabila masing-masing merekodkan 14.9 peratus serta 40.1 peratus.

Berita berkaitan

PM umum Pelan Pemulihan Negara, Parlimen bersidang September [METROTV]

5 negeri beralih ke Fasa 2 PPN

Fasa 2 PPN: Suami isteri PJJ dibenarkan rentas daerah, negeri

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 6:02 PM