ANTARA ikan yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
ANTARA ikan yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Mohamed Farid Noh


Pasir Gudang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas kira-kira 640 kilogram (kg) ikan delah dan 80 kg todak yang dibawa masuk ke tanpa permit import di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini, kelmarin.

Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim, berkata pemeriksaan dijalankan Pegawai Penguasa MAQIS pada sebuah tongkang membawa pelbagai jenis ikan basah pada 3.50 petang.

"Pemeriksan lanjut yang dijalankan, menemukan ikan delah dengan berat kira-kira 640 kg dan todak seberat 80 kg yang dianggarkan bernilai RM8,520 dibawa masuk tanpa permit import.

"Kesemua konsainan itu ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hizzuan berkata, jika disabitkan kesalahan ia boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.

Katanya, kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda maksimum RM150,000 atau dipenjarakan maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

"MAQIS menasihati supaya semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 10:41 AM