Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PADA 2013, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malays (Maqis) ditubuhkan. Ia berperanan memastikan barangan pertanian yang dibawa masuk ke Malaysia bebas daripada penyakit dan perosak selain selamat dimakan pengguna.

Maqis bertugas menjaga 57 pintu masuk negara. Sejak ditubuhkan, ia menggagalkan usaha banyak pihak membawa masuk barangan pertanian yang ditakrifkan sebagai tidak selamat untuk pengguna.

Ikuti wawancara Ketua Pengarah Maqis Saiful Yazan Alwi bersama wartawan, NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN, juruvideo, NOR FARIZAN ABDULL RAHMAN dan jurugambar, AHMAD IRHAM MOHD NOOR bagi mengetahui peranan dan kejayaan jabatan ini.

Tidak ramai mengetahui kewujudan Maqis. Latar belakang jabatan ini?

Idea penubuhan Maqis dikemukakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2005 yang ketika itu adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ketika itu, Maqis dikenali sebagai bahagian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan ditubuhkan secara rasminya pada 2013.

Model Maqis diinspirasikan daripada Australian Quarantine and Inspection Service (Aqis).

Kerajaan tertarik dengan Aqis kerana ia dapat meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan memastikan hanya satu agensi yang mengawal import atau eksport produk pertanian.

Setiap produk pertanian termasuk tumbuhan, daging dan ikan bukan saja dikawal, malah mesti mempunyai permit.

Ini bagi memastikan produk diimport bebas daripada penyakit dan perosak selain selamat dimakan pengguna.

Dalam istilah lebih mudah, penubuhan Maqis mengambil alih semua peranan jabatan dasar di bawah kementerian ini dahulu yang menjalankan fungsinya secara berasingan sebelum 2008.

Fungsi dan peranan Maqis?

Dua tugas besar Maqis ialah memberi perkhidmatan kuarantin, pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua pintu masuk yang diwartakan.

Bagi perkhidmatan kuarantin, setiap haiwan, tumbuhan, ikan hidup yang diimport perlu melalui proses kuarantin mengikut tempoh kuarantin ditetapkan.

Kuarantin perlu bagi memastikan produk pertanian import ini bebas daripada perosak dan penyakit.

Tahun lalu, Malaysia mengimport bekalan tambahan lembu dari Thailand bagi menampung permintaan sempena Aidiladha.

Tetapi pada masa sama, lembu di Thailand diserang wabak penyakit kuku dan mulut (FMD) dan pihak berkuasanya menjalankan proses kuarantin sebelum lembu dihantar ke negara ini.

Namun, Maqis tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan kuarantin terhadap haiwan itu selama 14 hari apabila ia tiba ke Malaysia.

Misi dan visi Maqis tahun ini?

Apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah Maqis pada 1 Januari tahun lalu, saya menyasarkan Maqis menjadi agensi penguatkuasaan biosekuriti agro makanan yang inovatif.

Oleh itu, kita memerlukan cara-cara, langkah-langkah dan pendekatan baharu untuk memastikan Maqis lebih berjaya.

Pendekatan baharu membantu Maqis mencapai hasil yang lebih baik.

Misi Maqis pula ialah mahu memastikan keselamatan makanan di Malaysia terjamin.

Apakah langkah Maqis untuk pastikan aspek keselamatan dan kesihatan tumbuhan, haiwan dan makanan yang diimport serta dieksport dipatuhi pengeluar?

Langkah pertama membabitkan prosedur import dan eksport keluaran pertanian.

Semua pengimport dan pengeksport perlu memohon permit daripada Maqis yang mana permohonan ini boleh dibuat secara atas talian.

Selain itu, mereka perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

Contoh permit daging, antara syarat ditetapkan ke atas daging import ialah mesti mempunyai sijil kesihatan veterinar daripada negara yang menghantar bekalan daging ini.

Sekiranya dari India, maka perlu ada sijil kesihatan veterinar dari negara berkenaan.

Langkah kedua ialah memastikan daging yang diimport disembelih dan diproses di loji sembelihan diiktiraf kerajaan Malaysia.

Maksud loji yang diiktiraf adalah pasukan audit dari Malaysia iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia melakukan audit untuk mengeluarkan sijil halal.

Maqis menjaga 57 pintu masuk negara ini iaitu di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan kecuali Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak menggunakan enakmen negeri masing-masing.

Apabila barangan tiba ke pintu masuk, pengimport ikrar pada kastam untuk cukai, jika barangan pertanian, kastam akan menyerahkan barangan itu kepada Maqis untuk pemeriksaan.

Sejauh mana penguatkuasaan undang-undang dilakukan Maqis sama ada di pintu masuk negara, stesen kuarantin dan premis kuarantin?

Kuasa Maqis mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Dalam akta ini, kuasa Maqis terhad kepada tiga tempat saja iaitu pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin yang diwartakan di bawah Akta 728.

Pertama adalah pintu masuk iaitu pintu masuk udara, laut dan darat.

Pintu masuk yang besar ialah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2, KLIA kargo, Pelabuhan Barat, Utara dan Selatan, Bukit Kayu Hitam, North Butterworth Container Terminal, Pulau Pinang, Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang.

Kedua ialah stesen kuarantin yang mana terdapat enam stesen kuarantin di bawah bidang kuasa Maqis.

Ia membabitkan Stesen Kuarantin Haiwan Padang Besar, Stesen Kuarantin Haiwan KLIA, Stesen Kuarantin Haiwan Batu Maung, Stesen Kuarantin Haiwan Rantau Panjang, Stesen Kuarantin Haiwan Labuan dan Stesen Kuarantin Haiwan Pelabuhan Klang.

Ketiga adalah premis kuarantin (swasta) yang diisytiharkan oleh Ketua Pengarah di bawah Akta 728 dengan syarat-syarat tertentu.

SAIFUL YAZAN ALWI
SAIFUL YAZAN ALWI

Apakah tindakan dan peruntukan undang-undang digunakan Maqis ke atas pesalah?

Di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] terdapat empat seksyen utama iaitu Seksyen 11, 13, 14 dan 15.

a) Seksyen 11 - Mana-mana orang yang terbabit dalam pengimportan dan pengeksportan keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan yang melanggar seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

b) Seksyen 13 - Mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan atau pengeskportan segala barang yang diimport dan dieskport melakukan kesalahan di bawah seksyen ini.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak lebih RM75,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

c) Seksyen 14 - Mana-mana orang mengimport barang dengan perosak, berpenyakit atau bahan cemar, yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar atau yang diserang oleh perosak, penyakit atau bahan cemar adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen ini.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak lebih RM150,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

d) Seksyen 15 - Mana-mana orang yang terlibat dalam pengimportan dan pengeksportan keluaran pertanian hendaklah mematuhi apa-apa syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan yang telah ditetapkan. Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak lebih RM150,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Contoh, melanggar syarat import iaitu keluaran pertanian yang dibawa masuk memerlukan sijil kesihatan veterinar tetapi pengiimport tidak dapat mengemukakan sijil kesihatan veterinar tersebut.

Maqis turut mengenakan kompaun kepada pengimport atau pengeksport yang tidak mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Apakah senarai kejayaan Maqis sepanjang 2019?

2019 adalah tahun kecemerlangan Maqis kerana bilangan kes dicatatkan meningkat berganda.

Pada 2016, hasil yang dikutip menerusi tindakan penguatkuasaan ialah RM70.1 juta, RM71.5 juta (2017), RM71.5 juta (2018) dan RM79 juta (2019).

Peningkatan jumlah hasil tindakan penguatkuasaan ini membuktikan Maqis serius memastikan pesalah dikenakan tindakan sewajarnya.

Kutipan kompaun sebelum ini RM600,000 dan meningkat kepada RM4 juta tahun lalu.

Nilai barangan pertanian yang dirampas pula RM116.6 juta.

Ini menunjukkan Maqis komited dan serius memastikan keselamatan makanan di Malaysia terjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 10:52 AM