Azman Mohamad, 56, dari Kampung Cabang Kertih menunjukkan nenas MD2 yang ditanam dijual pada harga RM4 sekilogram. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Azman Mohamad, 56, dari Kampung Cabang Kertih menunjukkan nenas MD2 yang ditanam dijual pada harga RM4 sekilogram. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli

Chukai: Menyedari keadaan orang ramai yang terjejas pendapatan ketika ini berikutan pandemik Covid-19 melanda, seorang pengusaha ladang nanas terdorong untuk menjual hasil tanamannya itu dengan harga RM4 sekilogram.

Harga jualan nanas MD2 itu jauh lebih murah berbanding harga pasaran ketika ini iaitu antara RM7 hingga RM8 sekilogram.

Azman Mohamad, 56, dari Kampung Cabang Kertih berkata, dia sengaja menurunkan harga nanas MD2 yang diusahakannya untuk memastikan semua penduduk mempunyai kemampuan untuk membelinya.

"Jika ikutkan sambutan terhadap nanas MD2 itu sangat tinggi sekarang, malah buah tidak mencukupi untuk menampung permintaan daripada pemborong.

"Ramai pemborong dan penjual nanas di sekitar Kemaman dan Dungun ingin membeli nanas itu dengan harga borong RM5 sekilogram tetapi saya mahu tidak terlalu mengejar keuntungan.

"Saya tetap dengan pendirian menjual nanas itu kepada penduduk setempat dengan harga RM4 sekilogram sahaja," katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Chabang Kertih di sini, hari ini.

Menurutnya, dia memulakan usaha menanam nanas itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

"Saya berasa buntu sepanjang PKP dikuatkuasa ketika itu kerana tidak dapat berkerja sebelum mengambil keputusan memanfaatkan waktu terluang itu mengusahakan ladang terbabit.

"Hasil sokongan ahli keluarga, adik-beradik dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), saya berjaya mengusahakan ladang itu sehingga mengeluarkan hasil sekarang.

"Selepas setahun tiga bulan, segala pengorbanan dan penat lelah saya terbayar apabila kira-kira 40,000 daripada 51,000 pokok nanas yang ditanam mengeluarkan hasil," katanya.

Menurutnya, keputusannya mengusahakan ladang nanas dan membelanjakan wang simpanan lebih RM35,000 memberi pulangan lumayan kepadanya.

"Setakat ini, sebanyak 2,000 biji nanas sudah terjual dan musim memetiknya dijangka berlarutan hingga hujung tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 2:31 PM