Peniaga, Zarina Abdullah, 54, menyusun ayam untuk dijual kepada pelanggannya ketika tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Peniaga, Zarina Abdullah, 54, menyusun ayam untuk dijual kepada pelanggannya ketika tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Peniaga mendakwa harga ayam naik sebanyak empat kali dalam tempoh seminggu menyebabkan barangan mentah itu dijual dengan RM9.40 sekilogram.

Tinjauan di Pasar Besar Siti Khadijah di sini, mendapati ayam mentah dijual dengan harga RM9.40 sekilogram berbanding minggu lalu sekitar RM8.30 sekilogram.

Peniaga, Zarina Abdullah, 54, berkata, dalam tempoh dua hari harga naik sebanyak 30 sen dan dalam minggu ini sudah empat kali ayam naik.

Menurutnya, setakat ini harga sudah naik sebanyak RM1.20 sekilogram dan jika tidak dipantau kemungkinan harga akan naik dengan lebih tinggi.

"Kami sebagai peniaga tidak boleh jual dengan harga yang tinggi memandangkan harga kawalannya atau siling hanya RM9.40 sekilogram.

"Jika minggu lalu, saya jual ayam dengan harga RM8.30 sekilogram, namun minggu ini perlu jual RM9.40 sekilogram.

"Kalau saya jual dengan harga rendah, saya perlu menanggung kerugian kerana harga yang dibeli daripada pemborong adalah tinggi.

"Jika perkara ini tidak dipantau, ia bukan sahaja membebankan peniaga, malah pengguna yang merasai beban kenaikan harga ayam dan barangan lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, faktor kenaikan mungkin disebabkan permintaan yang tinggi pada bulan ini kerana ramai yang membeli untuk dijadikan juadah sempena sambutan Maulidur Rasul.

"Saya perhati kalau musim cuti sekolah atau sambutan majlis termasuk hari raya dan kenduri kahwin menyebabkan permintaan yang tinggi sekali gus mendorong harga naik terutama daripada ladang dan pemborong," katanya.

Pelanggan, Azmi Semit, 57, pula berkata, harga ayam naik dalam tempoh seminggu ini menyebabkan dia sebagai pembeli rasa terbeban.

"Saya harap pihak berkenaan termasuk kerajaan membuat pemantauan untuk mengelakkan harga ayam ini terus naik ke paras yang lebih tinggi.

"Jika tidak dipantau pihak ladang dan pemborong akan mengambil kesempatan apabila akan menaikkan harga sesuka hati," katanya yang bekerja sebagai penghantar barang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 2:29 PM