Wan Lokman Wan Haron, 33, berjaya mengusahakan nanas jenis Madu Kaca dan MD2 dengan mampu menghasilkan tujuh tan buah berkenaan untuk semusim. Tanaman itu diusahakan di tanah seluas 0.4 hektar sejak tiga tahun lalu. FOTO IHSAN WAN LOKMAN
Wan Lokman Wan Haron, 33, berjaya mengusahakan nanas jenis Madu Kaca dan MD2 dengan mampu menghasilkan tujuh tan buah berkenaan untuk semusim. Tanaman itu diusahakan di tanah seluas 0.4 hektar sejak tiga tahun lalu. FOTO IHSAN WAN LOKMAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pada awalnya Wan Lokman Wan Haron hanya mahu mencuba nasib dengan mengusahakan tanaman nanas, namun akhirnya ia membuahkan hasil selain mampu menjana pendapatan sehingga lima angka semusim.

Pemuda berusia 33 tahun itu mengusahakan tanaman di tanah seluas empat hektar di Kampung Chuchuh Puteri, Kuala Krai, sejak tiga tahun lalu.

Wan Lokman yang juga alumni pertama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya membuktikan bidang agro tani mampu memberi pulangan lumayan sekiranya diusahakan secara serius dan komited.

"Selepas tiga tahun berpanas dan bermain lumpur, saya tidak sangka tanaman saya mampu menghasilkan sekitar tujuh tan buah nanas semusim.

"Ia dijual dengan harga borong di pasaran tempatan iaitu RM2.50 sekilogram bagi nanas Madu Kaca, manakala nanas varieti MD2 pula dijual pada harga RM4 sekilogram.

"Untuk jualan secara runcit harga sekilogram nanas Madu Kaca pula dijual sekitar RM3.50 hingga RM5 dan nanas MD2 berharga antara RM5 hingga RM8 bagi sekilogram, bergantung kepada pasaran semasa," katanya ketika dihubungi.

Katanya, nanas MD2 antara yang menjadi rebutan dan mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang manis, lebih berjus dan serat bagus untuk kesihatan.

"Madu Kaca juga tidak kurang hebatnya dengan rasa yang manis dan mendapat sambutan yang menggalakkan," katanya.

Wan Lokman berkata, dia mengusahakan tanaman nanas sejak 2018 selepas mendapat galakan dan sokongan daripada keluarga terutama bapanya yang sentiasa memberi semangat dan motivasi untuk mengusahakan nanas di kawasan tanah pertanian yang terbiar.

Katanya, dengan modal sekitar RM30,000 yang diperoleh daripada wang simpanan keluarga, dia memulakan projek tanaman nanas tanpa memohon bantuan dari mana-mana agensi kerajaan.

Katanya, dia mengusahakan tanaman secara berperingkat dengan permulaan modal yang kecil dan membeli anak benih nanas dari pasaran.

"Pengalaman ketika menuntut di UMK banyak membantu untuk menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan.

"Ketika di universiti, pensyarah sentiasa berpesan bahawa untuk menjadi usahawan yang berjaya perlu sentiasa mementingkan produk berkualiti.

"Justeru, saya amat mementingkan hasil pengeluaran tanaman yang berkualiti bagi menjamin pelanggan atau pemborong sentiasa berpuas hati," katanya.

Katanya, pada awalnya, terdapat banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi dan sememangnya tidak mudah untuk sampai ke tahap ini.

"Alhamdulillah, tanpa dorongan dan semangat daripada kedua ibu bapa dan keluarga, saya tidak akan sampai ke tahap ini.

"Saya juga merancang untuk mempelbagaikan lagi hasil pertanian pada masa hadapan dengan mengusahakan kebun buah durian, sayur-sayuran dan beberapa lagi hasil tanaman yang lain.

"Saya turut menaruh harapan tinggi untuk menjadikan kawasan Kampung Chuchuh Puteri antara lokasi pengeluaran nanas premium di Kuala Krai sekiranya kawasan ini terus dimajukan dengan tanaman nanas secara komersial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 3:59 PM