MAT Ghani menunjukkan tembikai yang dijual di hadapan asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA), Marang.
MAT Ghani menunjukkan tembikai yang dijual di hadapan asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA), Marang.
Nurul Fatihah Sulaini


BEBERAPA pengusaha tembikai di sini, lega dengan keputusan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menetapkan harga lantai buah itu pada kadar 80 sen sekilogram.

Hassan Awang, 62, berkata, langkah itu menyelamatkan mereka daripada kerugian apabila berlaku lambakan tembikai di pasaran kerana buah tidak terjual.

Malah, dia yang lebih 10 tahun menanam tembikai di tanah seluas lapan hektar di sini, mengakui tidak seuntung mana jika menjual buah itu kepada orang tengah kerana harga diletakkan terlalu rendah.

Katanya, situasi itu meresahkan mereka hingga ada yang bertahan dengan keuntungan tidak seberapa.

“Itu risiko kami sebagai pengusaha namun saya bernasib baik kerana tidak pernah menjual tembikai kepada orang tengah yang harga diletakkan kurang 80 sen sekilogram.

“Syukur dengan langkah ini, sekiranya ada lambakan, FAMA membantu menjual hasil tanaman kami supaya tidak mengalami kerugian terlalu besar,” katanya ketika ditemui.

Hassan berkata, langkah berkenaan juga tepat pada waktunya memandangkan Ramadan dan Syawal bakal tiba yang boleh membantu mereka menambah pendapatan.

Sementara itu, penjual tembikai, Mat Ghani Taib, 65, berkata, dia menyokong penetapan harga lantai itu kerana memahami derita penanam yang menanggung modal besar untuk mengusahakan tanaman berkenaan.

“Apabila ada harga lantai, nasib mereka akan terbela kerana sebarang turun naik harga tembikai dalam pasaran pun, tidak akan terjejas teruk.

“Saya juga dapat bekalan tembikai daripada orang tengah dan berharap harga yang ditetapkan itu memberi keuntungan kepada penjual seperti kami,” katanya.

Mat Ghani berkata, dia menjual tembikai gred A pada harga RM1.80 sekilogram antara terendah berbanding peniaga lain yang boleh mencecah RM2 sekilogram.

Beberapa hari lalu, FAMA mengumumkan harga lantai tembikai di ladang yang ditetapkan pada 80 sen sekilogram bagi melindungi pengusaha daripada dianiaya orang tengah.

Timbalan Pengarah FAMA Terengganu, Mohd Azrul Abd Aziz dipetik berkata, kebanyakan orang tengah yang dilantik pemborong hanya menawarkan harga 30 sen hingga 50 sen sekilogram, nilai yang terlalu rendah menyebabkan penanam sukar menjana pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 7:00 AM