Oleh Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Seorang pengurus syarikat direman empat hari bermula hari ini, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan kontrak bernilai RM60 juta di sebuah kementerian.

Perintah reman sehingga 27 Jun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membuat permohonan berkenaan, pagi tadi.

Sumber berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 12 malam tadi, ketika hadir memberikan keterangan.

"Lelaki ini dipercayai bersekongkol dengan seorang penolong setiausaha bahagian sebuah kementerian yang ditahan semalam, bagi memonopoli projek di bawah kementerian terbabit sejak 2018.

"Difahamkan, sehingga kini, mereka membolot kira-kira 16 projek di kementerian itu serta sudah membabitkan 11 kali pembayaran rasuah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, SPRM menahan seorang penolong setiausaha bahagian kementerian kerana disyaki menerima rasuah dalam pelbagai bentuk yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Penolong setiausaha bahagian berusia 46 tahun itu dilaporkan menerima suapan berbentuk wang RM300,000, barang kemas, tanah lot berkeluasan 0.8 hektar, rumah kedai dua tingkat dan sebuah motosikal.

Kesemua wang dan barangan itu diterima sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan projek bekalan am, perkhidmatan dan pengangkutan di kementerian terbabit.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan reman seorang pengurus syarikat kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan kontrak bernilai RM60 juta di sebuah kementerian. FOTO IHSAN SPRM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan reman seorang pengurus syarikat kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan kontrak bernilai RM60 juta di sebuah kementerian. FOTO IHSAN SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 1:48 PM