Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bekas Setiausaha Politik kepada bekas menteri bersama tiga ahli perniagaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima suapan dari syarikat dan kontraktor yang mendapat tender kementerian.

Menurut sumber, penahanan terhadap keempat-empat mereka dibuat selepas suspek utama (bekas setiausaha politik seorang bekas menteri) meminta dan menerima suapan bagi memastikan tender pembekalan di sebuah kementerian diperoleh pihak kontraktor.

"Keempat-empat suspek lelaki ini dipercayai menerima suapan daripada beberapa syarikat termasuk kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.

"Semua suspek ditahan sekitar jam 7 hingga 8.30 malam tadi iaitu tiga di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir bagi direkodkan keterangan dan seorang lagi ditahan di sekitar Shah Alam, Selangor,"katanya.

Susulan itu, semua individu berkenaan di reman selama tiga dan empat hari bagi membantu siasatan.

Bekas Setiausaha Politik kepada bekas menteri bersama tiga ahli perniagaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima suapan dari syarikat dan kontraktor yang mendapat tender kementerian. FOTO Ihsan SPRM
Bekas Setiausaha Politik kepada bekas menteri bersama tiga ahli perniagaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima suapan dari syarikat dan kontraktor yang mendapat tender kementerian. FOTO Ihsan SPRM

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan tiga suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan sehingga 27 Januari manakala seorang lagi suspek direman selama tiga hari iaitu sehingga 26 Januari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap semua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, SPRM juga berkemungkinan akan memanggil beberapa individu lain bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 4:47 PM