BERNAMA

SEMBILAN individu termasuk lima penjawat awam direman selama enam hari kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berhubung pendaftaran akaun baharu ePerolehan membabitkan sebuah kementerian.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman itu yang bermula hari ini hingga 22 Julai selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Terdahulu, lima wanita dan empat lelaki tiba di mahkamah pada 9 pagi dengan berpakaian lokap SPRM warna jingga dan tangan bergari.

Menurut sumber SPRM, kesemua sembilan individu terbabit ditahan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam operasi semalam.

"Lima penjawat awam berkenaan, tiga daripadanya wanita merupakan petugas di unit pendaftaran syarikat kementerian itu manakala yang lain adalah orang awam," katanya.

Sumber SPRM berkata, selain permohonan akaun ePerolehan, individu berusia antara 30 hingga 47 tahun terbabit juga disyaki terbabit dalam urusan permohonan mendapatkan status Bumiputera untuk syarikat di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, risikan yang dijalankan selama enam bulan mendedahkan bahawa kegiatan sindiket tersebut bermula pada 2017 dan ratusan ribu ringgit wang rasuah dikutip sindiket daripada syarikat di sekitar Lembah Klang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Empat lelaki dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berkaitan pencemaran air. Foto Eizairi Shamsudin
Empat lelaki dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan berkaitan pencemaran air. Foto Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 11:11 AM