FOTO Arkib NSTP.
FOTO Arkib NSTP.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan di 16 kedai runcit sekitar Bukit Sentosa dan Dengkil, Selangor selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada permit kerja sah.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua mereka ditahan menerusi serbuan berasingan pada 14 dan 15 Jun lalu, yang dikendalikan 14 pegawai dan anggotanya.

Katanya, Pati yang ditahan membabitkan 18 lelaki Bangladesh, tujuh lelaki Myanmar, lima warganegara Indonesia (tiga lelaki, dua wanita), dua lelaki Pakistan serta seorang lelaki India.

"Kesemua premis mempunyai lesen perniagaan yang didaftarkan atas nama warganegara Malaysia, namun disyaki disewakan kepada warga asing," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Seramai enam individu yang juga warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau memaklumkan tahanan itu dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya untuk menjalankan ujian saringan Covid-19, sebelum ditempatkan ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut," katanya.

Khairul Dzaimee memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti Pati atau premis niaga yang dijalankan warga asing secara haram untuk melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 6:16 PM