ANTARA warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah kedai makan di Petaling Jaya, kelmarin. FOTO Ihsan JIM
ANTARA warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah kedai makan di Petaling Jaya, kelmarin. FOTO Ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Seramai sembilan individu warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di sebuah kedai makan di daerah ini, kelmarin.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan jam 2.30 petang itu dilakukan 16 pegawai imigresen dari Bahagian Pencegahan Pencegahan Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Anti Penggubahan Wang Haram (AMLA), Putrajaya, hasil maklumat orang awam serta risikan.

"Dalam serbuan itu, kami mendapati terdapat lima pekerja warga tempatan dan sembilan pekerja warga asing yang diperiksa.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, berlaku insiden provokasi apabila ada pekerja cuba merakam gambar dan video serta mengganggu tugas pegawai imigresen.

"Namun, situasi itu berjaya dikawal dengan diplomasi tanpa sebarang insiden kekerasan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, sembilan yang ditahan terdiri daripada enam lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Pakistan, seorang wanita warga India dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 27 hingga 38 tahun.

"Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengurus dan penyelia premis itu dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Semua warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan melanggar syarat pas," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan itu dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

"Selepas keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif, mereka dibawa dan ditempatkan di lokap JIM Kuala Lumpur untuk siasatan serta tindakan lanjut.

"Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku.

"Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warga asing yang cuba mengambil kesempatan. Orang ramai diminta supaya terus menyalurkan maklumat mengenai pendatang asing tanpa izin (PATI) supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:04 PM