UNIT Tindak Pantas, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Imigresen membuat pemeriksaan terhadap restoran itu. FOTO Ihsan Imigresen
UNIT Tindak Pantas, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Imigresen membuat pemeriksaan terhadap restoran itu. FOTO Ihsan Imigresen
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebuah restoran terkenal di Bangi didapati menggaji tukang masak warga Pakistan tanpa dokumen yang sah.

Perkara itu terbongkar selepas Unit Tindak Pantas, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Ibu pejabat Imigresen, Putrajaya menyerbu restoran berkenaan pada jam 10 malam kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan itu, seramai empat orang pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan.

Menurutnya, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam yang gusar akan status tukang masak warga asing sama ada mempunyai dokumen yang sah dan mendapat suntikan typhoid untuk pengendali makanan.

"Ketika pemeriksaan dilakukan terdapat beberapa pekerja warga asing bekerja di dalam premis berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai empat orang lelaki warga Pakistan bekerja sebagai pembuat nan dan tukang cuci tidak mempunyai dokumen yang sah untuk bekerja di premis itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pemeriksaan turut dijalankan di asrama kediaman pekerja yang terletak tidak jauh dari lokasi premis.

"Keempat-empat lelaki warga Pakistan yang berusia antara 26 hingga 44 tahun ini ditahan dan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Selain itu, sebanyak dua notis untuk hadir memberi keterangan turut dikeluarkan kepada pekerja warga tempatan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan," katanya.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee mengingatkan orang ramai terutamanya majikan supaya tidak melindungi dan menggajikan pati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 7:26 PM