GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis Shah Alam mengenakan kompaun ke atas dua kilang di sini yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) sekatan pergerakan penuh (SSP) fasa pertama yang bermula 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata,

setiap kilang masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 ketika operasi pemantauan bermula 1 Jun sehingga semalam.

"Kilang pertama yang dikompaun adalah kilang memproses rokok elektronik (vape) yang memang tidak dibenarkan beroperasi kerana bukan 'essential' tetapi masih beroperasi seperti biasa.

"Kilang kedua pula, ketika serbuan dibuat, kakitangan bekerja melebihi jumlah 60 peratus kehadiran pekerja yang ditetapkan. Ini kilang memproses makanan dan perkhidmatan pengangkutan," katanya.

Beliau berkata dalam sidang media selepas Operasi Khas Pemantauan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 SSP fasa pertama IPD Shah Alam bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan CIDB di Eco Ardence dan Sun Suria, Setia Alam, di sini semalam.

Mengulas mengenai keseluruhan pemantauan katanya, sehingga kini pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 23 kilang dan empat tapak pembinaan dalam kawasan pentadbiran IPD Shah Alam.

"Pemantauan pematuhan di tapak pembinaan serta kilang-kilang di Shah Alam dijalankan secara mengejut bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi oleh pihak pemaju dan kilang.

"Ini selaras dengan ketetapan pengoperasian dan pembinaan di kilang dan tapak projek hanya boleh dijalankan apabila mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti)," katanya.

Sementara itu katanya, setakat ini sejumlah 17 kompaun dikeluarkan di dua sekatan jalan raya statik iaitu SJR Plaza Tol Bukit Jelutong dan SJR Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26.

"Antara kesalahan yang kita dapati adalah melebihi kapasiti kenderaan dengan nilai kompaun dikenakan RM2,000 setiap penumpang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 8:12 AM