ASISTEN Komisioner Baharudin Mat Taib. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
ASISTEN Komisioner Baharudin Mat Taib. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Dua kilang di daerah ini diarahkan tutup menerusi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) terhadap operasi perkilangan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sebanyak 48 kilang pelbagai sektor diperiksa pasukannya sehingga semalam dan lima kompaun turut dikeluarkan dalam tempoh itu.

"Lima kilang dikompaun yang mana dua daripadanya diarahkan tutup serta merta. Sebuah kilang didapati beroperasi tanpa surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

"Sebuah lagi kilang yang diarahkan tutup didapati menipu dalam permohonan surat Miti yang mendakwa kilang mereka memproses bahan makanan sebaliknya mereka memproses cecair bagi rokok elektronik," katanya ketika ditemui selepas memantau operasi perkilangan di Nestle Manufacturing Sdn Bhd di Seksyen 15, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap kilang dikompaun RM10,000 kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Baharudin turut memuji SOP yang dilaksanakan oleh Nestle dalam mengekang penularan wabak dalam kilang.

"Saya berharap kilang industri lain boleh mengikut cara syarikat ini melaksanakan SOP di tempat kerja," katanya.

Sementara itu, Baharudin berkata sebanyak 14 kompaun dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di daerah ini.

Katanya, kompaun yang dikeluarkan membabitkan kesalahan menaiki kenderaan melebihi kapasiti yang dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 3:37 PM