ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ketika operasi di beberapa buah kilang di Mak Mandin di sini. FOTO Danial Saad
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan ketika operasi di beberapa buah kilang di Mak Mandin di sini. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Polis mengeluarkan kompaun RM10,000 ke atas pemilik kilang percetakan dan pembungkusan makanan di Mak Mandin di sini, atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Dalam operasi pada 10 pagi hingga 3 petang itu, polis bersama beberapa agensi meneruskan pemantauan SOP di kilang sekitar daerah ini bagi memastikan setiap arahan dipatuhi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, melalui pemeriksaan yang diadakan mendapati dua kilang terbabit melakukan pelanggaran SOP seperti yang ditetapkan.

"Kilang percetakan melanggar SOP berkaitan ketetapan 60 peratus sahaja pekerja dibenarkan berada dalam premis.

"Kilang pembungkusan makanan pula gagal memastikan dua pekerjanya mengimbas kod QR MySejahtera.

"Berikutan itu, kedua-kedua kilang itu masing-masing dikenakan kompaun RM10,000," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga mengeluarkan kompaun terhadap tiga kilang atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen iaitu pejabat urusan.

"Selain itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan notis mengikut Seksyen 30(1)(b) Akta Syarikat 2016 sebanyak RM5,000 terhadap tiga kilang kerana gagal mempamerkan nama syarikat dan nombor pendaftaran syarikat di tiap-tiap tempat di mana perniagaannya dijalankan.

"Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang turut serta dalam operasi ini juga memaklumkan bahawa agensi itu mengeluarkan saman ke atas tiga pemilik kilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:11 PM