Rosman Shamsudin


Tapah: Dua kilang diarahkan tutup menerusi pemantauan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap operasi perkilangan dalam tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, sebanyak 10 kilang diperiksa di dalam Operasi Bersepadu bersama agensi penguatkuasaan di daerah ini bermula sejak pagi tadi di kawasan Bidor dan Sungkai.

Katanya, dalam operasi terbabit, dua kilang diarah tutup serta-merta sehingga tamat PKP dan dikompaun kerana beroperasi tanpa surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

WAN Azharuddin (kiri) ketika pemeriksaan di sebuah kilang di Bidor. FOTO Rosman Shamsudin
WAN Azharuddin (kiri) ketika pemeriksaan di sebuah kilang di Bidor. FOTO Rosman Shamsudin

"Kilang berkenaan juga tidak termasuk dalam sektor yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh PKP 3.0.

"Malah, dua kompaun sebanyak RM1,500 seorang turut dikeluarkan kepada dua pekerja kilang di salah sebuah kilang kerana didapati gagal mengimbas MySejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di sebuah kilang, dekat Bidor, petang tadi.

Wan Azharuddin berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti sepanjang operasi berkenaan termasuklah kegagalan menyediakan peralatan saringan suhu, kehadiran pekerja melebihi 60 peratus, gagal memastikan pekerja mengimbas MySejahtera serta kesalahan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:20 PM